Hamza Ajan

SAYA Hamza Ajan. Saya adalah pelarian ingin memulakan penulisan ini dengan menyatakan bahawa kebencian dan kejahilan akhirnya akan membunuh setiap perkara baik dalam kehidupan masyarakat.

Saya sering bertanyakan soalan mengapa ada kebencian di dunia ini? Dan mengapa seseorang membenci orang yang berbeza dengannya?

Persoalan-persoalan ini telah mendorong saya untuk mengkaji kes berkaitan golongan pelarian sebagai kajian PhD saya.

Seperti diketahui golongan pelarian adalah salah satu kumpulan yang paling rentan dan mudah terancam didalam masyarakat.

Kajian PhD saya bertujuan untuk memahami bagaimana kumpulan pelarian berintegrasi dalam masyarakat yang dihuni. Setiap kali saya melihat laporan dan penyelidikan yang menunjukkan sikap masyarakat terhadap pelarian.

Saya melihat hasil yang serupa. Hampir setiap laporan atau penyelidikan menunjukkan bahawa majoriti di negara
penerima pelarian menentang kehadiran pelarian dalam masyarakat mereka kerana alasan-alasan yang berbeza-beza.

Saya tidak akan membincangkan tentang hasil laporan dan
penyelidikan tersebut tetapi saya akan menambahnya di akhir artikel ini untuk mereka yang berminat dengan isu ini.

Dalam penulisan ini, saya ingin membicarakan tentang kematian Hamza yang merupakan seorang pelarian Syria yang tinggal di Turki sejak 2012.

Hamza baru berusia 17 tahun dan dia dipukul oleh empat "manusia" sehingga menyebabkan kematiannya pada 15 Julai 2020.

Hamza adalah salah seorang pelarian Syria yang baik di Turki.

Menurut Konvensyen UNICEF mengenai Hak Kanak-Kanak teks artikel 1; For the purposes of the present
Convention, a child means every human being below the age of eighteen years unless under the law applicable to the child, majority is attained earlier”, yang secara ringkasnya membawa maksud, seorang kanak-kanak itu adalah di bawah usia 18 tahun melainkan tertakluk kepada undang-undang yang ditetapkan untuk kanak-kanak itu.

Oleh itu, dalam kes Hamza, dia masih kecil ketika dibunuh dengan kejam. Saya pasti jika dia masih hidup; dia ingin mengatakan banyak perkara yang tidak diendahkan oleh kebanyakan media massa di Turki.

Bahkan sebilangan media massa tidak menyebut tentang kematian Hamza kerana mereka tidak peduli dengan kehidupan pelarian.

Di atas nilai perikemanusiaan untuk berdiri bersama mereka yang terpaksa meninggalkan rumah dan negara tercinta mereka
kerana sebab-sebab yang mereka sendiri tidak ingini, saya menulis artikel ini bagi pihak Hamza.

Sebagai sesama manusia, kita seharusnya mempertahankan golongan yang didiskriminasi dalam masyarakat. Jika tidak, sistem yang tidak adil ini pada akhirnya akan membawa kebinasaan kepada kita suatu hari nanti.

Biar saya mulakan cerita tentang bagaimana Hamza berakhir di Turki.

Ya, saya Hamza Ajan dan saya dari Syria. Saya baru berusia lapan tahun ketika orang ramai hanya melakukan tunjuk perasaan secara aman terhadap pemerintah zalim dan korupsi di
negara asal saya (Syria) pada tahun 2011.

Saya tinggal di Idlib, adalah sebuah bandar di barat laut Syria, bersama keluarga saya pada masa itu. Saya tinggal sangat dekat dengan salah satu bandar besar kuno, Ebla.

Saya gembira kerana saya mempunyai banyak kawan di sekeliling
saya. Kami bermain di jalanan hampir setiap hari dan masing-masing dari kami mempunyai impian untuk mengejar masa depan.

Kami, kebanyakannya, bermain sama ada ‘permainan
kaca marmar’ atau ‘sembunyi-sembunyi’. Kami juga sering bermain bola sepak. Ini adalah perkara paling biasa dalam kalangan kanak-kanak lelaki di Syria.

Namun, saya juga bermain permainan di mana kami melukis kotak dan membaginya menjadi kotak yang lebih kecil. Terdapat juga permainan di mana kami akan berdiri di satu kaki untuk memindahkan batu dari satu persegi ke yang lain tanpa menyentuh garis setiap kotak.

Permainan ini selalunya dimainkan kanak-kanak perempuan, tetapi kami hanyalah kanak-kanak. Saya hanya main
semua permainan yang saya suka tanpa memikirkan sama ada ia adalah permainan untuk lelaki atau perempuan.

Pada awal tahun 2011, saya mula melihat orang memprotes pemerintah. Saya melihat hal ini di televisyen hampir setiap hari.

Saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada masa itu.
Kemudian, saya mula faham bahawa orang yang melakukan protes kerana mereka tidak mendapatkan kehidupan yang selayaknya.

Pada masa itu, cukup sekadar untuk mengatakan ia memadai. Mereka yang memprotes menginginkan kebajikan hidup yang lebih baik dengan kebebasan dan mereka percaya adalah mungkin untuk hidup dalam masyarakat di
mana orang memiliki peluang yang sama rata.

Mereka menganggap bahawa adalah baik-baik sahaja untuk memprotes secara aman jika ada masalah besar seperti ketaksamaan dalam pembahagian pendapatan, rasuah, dan ketidakadilan.

Mereka bertekad untuk mengubah sistem tidak adil ini, mereka mulai turun ke jalan, menyeru meminta kebebasan dan
perubahan pada tahun 2011.

Ia adalah tunjuk perasaan secara aman dimana mereka yang
melakukan tunjuk perasaan membawa bunga dan menawarkan botol air minuman kepada tentera di Damsyik, ibu kota Syria dan ini adalah salah satu bandar tertua di dunia yang terus
dihuni sehingga kini.

Pada tahun 2011, para penunjuk perasaan tidak menyedari bahawa pihak pemerintah sanggup menggunakan kekerasan yang mampu menggadaikan nyawa mereka.

Malangnya, pihak pemerintah pada masa itu telah menggunakan kekerasan terhadap para penunjuk perasaan yang memberikan bunga dan botol air minuman kepada askar rejim pada awal
pemberontakan dan bukannya mendengarkan keinginan mereka.

Mereka dikejutkan apabila pihak pemerintah melepaskan tembakan terhadap penunjuk perasaan secara damai di
beberapa kota, dan aktivis, Ghaith Matar, yang memulai praktik menyerahkan bunga mawar dan botol air minuman kepada tentera didapati terbunuh pada pertengahan 2011.

Bermula saat itu semuanya mula berubah menghancurkan negara asal saya, yang juga merupakan salah satu kawasan perumahan tertua di dunia.

Pemerintah tidak bertolak ansur walaupun protes damai itu untuk menuntut kebebasan dan hidup dengan bermaruah. Sekatan jalan hampir di mana-mana ketika pihak pemerintah berusaha mengawal semua orang. Setiap hari, angka kematian semakin meningkat apabila semakin banyak orang turun ke jalan untuk memprotes menolak kekejaman tersebut pada
tahun 2011.

Tahap konflik meningkat hampir di setiap daerah dalam negara asal saya dan orang-orang terpolarisasi. Bandar-bandar dan keluarga-keluarga malah berpecah berdasarkan pandangan politik masing-masing.

Protes ini berubah menjadi keganasan yang menghancurkan bandar kediaman saya dan impian saya. Pasukan pemerintah membunuh orang awam, mereka memusnahkan rumah orang awam dengan kereta kebal tentera dan serangan helikopter.

Setiap hari, banyak rumah musnah akibat pengeboman, dan keganasan ini juga tiba di bandar asal saya, Idlib. Oleh itu, jalan yang biasa saya bermain dengan rakan-rakan bertukar menjadi kawasan perang berdarah.

Rumah saya, Idlib, terbakar. Tidak ada lagi kehidupan di Idlib, kebanyakan orang dan semua rakan saya meninggalkan rumah mereka untuk meneruskan hidup.

Setiap kali saya tidur, saya tertanya-tanya adakah saya akan bangun keesokan harinya atau tidak. Saya merasakan yang saya akan mati pada masa itu.

Saya dan keluarga meninggalkan rumah kami untuk berpindah ke tempat lain agar kami dapat menjalani kehidupan seperti orang lain.

Kami pergi ke Turki yang merupakan salah satu negara jiran dengan Syria. Saya masih ingat pada masa itu banyak orang seperti kami di jalanan berjalan untuk sampai ke Turki.

Setelah sekian lama, akhirnya kami telah melepasi sempadan negara, dan kami tiba di Turki. Saya berpendapat bahawa semua orang di Turki akan menyambut kami.

Saya beranggapan bahawa semua orang akan merasa simpati kepada kami kerana kami terpaksa lari meninggalkan rumah kami. Walaupun pada awal saya tinggal di Turki, ketika saya melihat gambar-gambar dan berita mengenai kami; saya berfikir bahawa semua orang di Turki akan menjaga kami.

Hampir setiap hari di TV, saya melihat orang terutamanya lelaki-lelaki (ahli politik) yang memakai sut hitam menunjukkan gambar kami yang sengsara.

Saya berdoa kepada Allah untuk menunjukkan penghargaan saya kepada mereka yang memperkatakan mengenai kita. Saya tidak dapat memahami apa yang orang katakan tentang kami kerana pada awalnya saya tidak memahami bahasa Turki tetapi saya
yakin bahawa semua orang dan media massa ini mengatakan kebenaran tentang kami.

Selepas beberapa ketika, ketika saya telah mula belajar bertutur dalam bahasa Turki, saya menyedari bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam masyarakat.

Saya faham bahawa kebanyakan orang mempermalukan kami hanya kerana kami orang Syria, dan orang yang memakai pakaian hitam menunjukkan gambar kita untuk mengatakan bahawa orang Syria mencuri dari orang tempatan di Turki.

Kemudian, saya faham bahawa orang-orang ini adalah
ahli parlimen dan mereka memberitahu umum bahawa orang Syria adalah punca ekonomi Turki merosot.

Sebilangan besar media massa menunjukkan gambar kami untuk
meningkatkan ketegangan antara kami dan masyarakat setempat. Saya mula menyedari bahawa kami dipersalahkan untuk setiap perkara buruk di Turki.

Beberapa orang bahkan memberitahu kami bahawa kami baik-baik saja di Syria, tetapi kami melarikan diri dari negara kami.

Selain itu, beberapa orang memukul kami tanpa sebab hanya kerana kami orang Syria. Kami tidak mempunyai perlindungan undang-undang yang mencukupi untuk melindungi diri daripada ketidakadilan ini.

Saya dikejutkan buat kali kedua dalam jangka masa yang singkat. Kejutan pertama saya adalah ketika pemerintah Syria mengabaikan permintaan asas rakyatnya dan membunuh mereka.

Saya tidak tahu apa yang harus dilakukan atau ke mana harus pergi selepas kejutan kedua. Nampaknya saya tidak mempunyai tempat untuk hidup dalam kebebasan dengan harga diri
sebagai manusia.

Bagaimanapun, saya telah mendapat pekerjaan di pasar awam terbuka di daerah Gürsü, Bursa – tempat saya tinggal bersama ibu bapa saya.

Saya terpaksa bekerja dan menolong ibu bapa saya. Saya mahu mempunyai pekerjaan yang lebih baik tetapi saya tidak
mempunyai kemewahan untuk mengejar impian saya lagi. Saya hanya mahu fokus pada kehidupan baru saya dan saya mengabaikan orang-orang yang mendiskriminasi kami hanya
kerana kami orang Syria.

Namun, saya tidak boleh bertolak ansur dengan orang yang
mengganggu wanita. Pada 15 Julai 2020, ketika saya melihat beberapa orang rasis yang bekerja di pasar mengganggu dan menghina seorang wanita, saya menjadi marah.

Wanita itu adalah pelarian Syria seperti saya tetapi saya tidak memperhatikan kewarganegaraannya.

Saya akan tetap membelanya meskipun dia bukan orang Syria. Empat orang rasis menghina wanita tersebut dan saya memberitahu mereka bahawa hal ini tidak boleh diterima.

Keempat-empat orang itu mula memukul saya dengan teruk dan tidak mendengar rintihan. Saya berulang kali mencuba untuk memberitahu mereka, anda tidak boleh memperlakukan
manusia dengan cara ini.

Namun, apa sahaja yang saya katakan mereka tidak peduli dan mereka terus memukul saya sehingga saya tidak sedarkan diri.

Orang-orang di sekitar saya memanggil ambulans dan mereka membawa saya ke hospital. Saya mengalami pendarahan otak kerana kecederaan parah yang saya alami.

Saya masih sangat muda dan saya tidak mempunyai motivasi yang cukup untuk bertarung kali ini. Sudah terlambat untuk
semuanya. Saya sudah kehilangan harapan ketika berada di Syria untuk masa depan tetapi kali ini saya boleh kehilangan nyawa.

Ya, ini mungkin berbeza jika orang saling mendengarkan antara satu sama lain dan bukannya bertengkar. Ya, akan berbeza di Syria jika pemerintah Syria berusaha mendengarkan suara penunjuk perasaan pada awalnya, tetapi mereka gagal.

Ya, boleh jadi berbeza jika keempat-empat orang tersebut mendengarkan saya, tetapi mereka gagal. Siapa tahu? Mungkin saya masih boleh hidup di antara anda semua, walaupun anda
tidak memperlakukan saya sebagai manusia.

Ya, saya Hamza. Saya baru berusia 17 tahun semasa saya dibunuh oleh empat orang dengan memukul saya pada 15 Julai 2020. Tolong cuba dengarkan di antara satu sama lain dan bukannya bertengkar.

Jika tidak, kebencian dan kebodohan ini akan membunuh segalanya suatu hari nanti. Saya ingin mengakhiri karya saya
dengan puisi yang ditulis oleh orang juga yang terpaksa meninggalkan rumahnya seperti saya.

Dia adalah salah satu penyair Syria paling hebat di seluruh dunia, Nizar Qabbani.

Kenapa? Saya selalu menyoal diri. Mengapa tidak ada cinta di dunia untuk semua orang.

Seperti sinar matahari pada waktu subuh? Mengapa tidak cinta seperti roti dan wain dan seperti air di sungai? Mengapa orang tidak suka dengan cara mudah seperti ikan di laut, seperti bulan berputar di galaksi?

Mengapa cinta di tanah air saya tidak mustahak seperti buku puisi? Kenapa?

Catatan: Wahai Hamza, saya berharap ada suatu tempat seperti yang selalu diberitahu kepada saya dan saya harap anda berada di tempat itu sekarang.

Semoga Allah menempatkan jiwa anda di syurga. Kami tidak dapat melindungi anda, kami tidak dapat memberi anda tempat di mana anda dapat hidup dalam kedamaian di Turki.

Perkara ini akan selalu dikenang sebagai sesuatu yang memalukan kami. Saya mendoakan kesihatan buat keluarga Hamza juga.

Semoga Allah sentiasa memelihara anda dalam masa yang sukar ini. Hamza tidak akan dilupakan, tidak akan pernah. Terimalah ucapan takziah saya.

Saya harap mereka yang membunuh Hamza dengan kejam mendapat hukuman berat yang setimpat dengan perbuatan
mereka.

Akhir kata, saya berharap agar kematian yang kejam seperti ini akan segera dihentikan. Cukuplah, cukup.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan saya Boshra Alzoube dan Yunus Asfari yang memberikan maklumat berharga mengenai permainan kanak-kanak di Syria.

Ucapan terima kasih istimewa buat sahabat saya, Munira Mhd Rashid yang telah membantu menterjemahkan artikel ini.

 

Cevdet Acu , Calon PhD dalam Ekonomi.